Tahniah! |
PUTRAJAYA 7 Jun – Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kejayaan 7 pendaki projek
Everest Felda 2013 menawan puncak tertinggi dunia pada 21 Mei dan 23 Mei lalu
sebagai satu transformasi generasi ke-2 Felda yang bukan sahaja dari segi fizikal
tetapi minda.
Dalam ucapan di Majlis Penghargaan dan Penyerahan Insentif
Projek Everest Felda 2013 di Perdana Putra hari ini, Najib berkata, kejayaan
yang dicatatkan oleh generasi ke-2 Felda itu sebagai berlainan dan istimewa
berbanding generasi pertama Felda.
Kalaulah kisah generasi pertama ialah menebas dan menebang
hutan rimba dengan tangan dengan kapak dan segala peralatan pada ketika itu,
maka generasi ke-2 mencatat sejarah yang berlainan yang begitu istimewa.
Ini kerana mereka melihat sempadan pemikiran dan dimensi
ruang lingkup tidak terbatas kepada sempada Felda semata-mata, malah merentasi
bukan sahaja sempadan negara Malaysia tetapi merentasi dunia sehinggalah kepada
puncak yang tertinggi didunia, kata Najib.
Beliau berkata, kejayaan misi itu merupakan intipati kepada
pembaharuan yang ingin dilihat kepada Felda agar menjadi satu organisasi yang
dapat mencipta nama yang hebat dipersada dunia dan ia adalah cerminan
manifestasi kepada usaha transformasi lebih besar yang sedang dilakukan.
Saya antara yang paling gembira bila saya dengar berita bahawa
pasukan ini telah berjaya. Saya difahamkan mereka berjaya ketika kita berusaha
dalam pilihan raya baru-baru ini. Jadi ia merupakan dua kejayaan walaupun
cabaran ini cukup hebat,kata Najib.
Perdana Menteri berharap kejayaan mereka menakluk puncak Everest
menjadi cerita yang merangsang anak-anak Malaysia serta menjadi kumpulan ikon .
Misi Everest Felda 2013 diketuai Siti Hanisah Sharuddin, 23
tahun dan dianggotai Mohd. Nasuha Shamsudin, 21; Mohamad Asyraf Mohd. Halim,
25; Muhammad Hafizuddin Ibrahim, 22; Myrza Fazha Md. Hamyrudin, 25.
Mereka turut ditemani jurulatih, Zainudin Lot, 37, dan Muhammad
Illaham Ishak, 37.
Kesemua mereka selamat tiba di tanah air pada 1 Jun lalu.
Dalam majlis itu kesemua 7 pendaki itu menerima insentif wang
tunai berjumlah RM50,000 setiap seorang manakala kumpulan sokongan seramai 7
orang diberikan insentif berjumlah RM10,000 seorang.
Projek Everest-Felda 2013 itu dikendali Kelab Eksplorasi Tujuh
Benua Malaysia (KE7B) dan mendapat sokongan serta tajaan Felda, Felda Global
Ventures Holdings Bhd. (FGV), dan Majlis Belia Felda Malaysia.
Sumber: Utusan Online
0 comments:
Post a Comment
Komen anda