HARI ARAFAH




APAKAH WAKTU MUSTAJAB DOA PADA 9 ZULHIJJAH PERLU IKUT WAKTU WUKUF DI PADANG ARAFAH ?

Saya kongsikan bahan dari FB.Terima kasih admin fb Masjid Abidin Kuala Terengganu
https://www.facebook.com/199803390052900/posts/1026937680672796/

Pagi ini saya menerima mesej whatsapp dari salah satu group whatsapp:

Whsp dr sahabat yg berada di tanah suci 👇

"Assalamualaikum. kpd sdr/i,  tuan puan, adik abang, kwn2.  InsyaAllah waktu wuquf di Arafah akan bermula waktu zuhr hingga maghrib pd 9 Zulhijah bersamaan 23/9/2015.  Waktu Malaysia 5.30pm -11.00pm.  Gunakan waktu ini untuk berdoa kerana ini adalah waktu yg amat mustajab".
Timbul persoalan, perlu ke untuk kita samakan waktu kita berdoa dengan waktu wukuf di padang Arafah itu?
Nabi s.a.w bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ
Maksudnya: "Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah.."

Jika diteliti hadis Nabi s.a.w ini, Nabi s.a.w tidak menyatakan sebaik-baik doa itu ketika waktu wukuf, tetapi dinyatakan sebaik-baik doa pada HARI Arafah.

Bilakah hari Arafah?

Syeikh Dr. Wahbah az-Zuhaili rahimahullah dan kebanyakan ulama yang lain menyatakan hari Arafah adalah pada 9 Zulhijjah. Bermaksud, sepanjang hari 9 Zulhijjah ini keseluruhannya adalah doa mustajab.

Adapun bagi orang-orang yang mengerjakan haji di Mekah, mereka perlu melaksanakan satu rukun haji yang dipanggil wukuf di Padang Arafah.

Sabda Nabi s.a.w:

الحج عرفة
Maksudnya: "Haji itu (berwukuf) di padang Arafah."

Waktu wukuf bermula dari tergelincir matahari (masuk waktu Zuhur/waktu di Arab Saudi) hari ke 9 Zulhijjah sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah. Maka oleh itu, bagi orang yang mengerjakan haji mereka digalakkan berdoa ketika sepanjang waktu wukuf oleh kerana ketika itu merupakan gabungan yang sangat cantik iaitu berada pada 9 Zulhijjah dan dalam keadaan berwukuf di padang Arafah. Maka insyaAllah mustajab doa berganda-ganda.

Oleh kerana itu, jelas di sini sepanjang hari Arafah merupakan hari doa mustajab. Cuma bagi orang yang mengerjakan haji ada keistimewaan tersendiri dalam mencari doa mustajab yang lebih mustajab.

Manakala bagi mereka yang tidak mengerjakan haji juga ada cara tersendiri untuk mencari doa mustajab yang lebih mustajab pada hari Arafah iaitu dengan berpuasa pada hari berkenaan.

Nabi s.a.w bersabda:

ثَلاثَةٌ لا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ..
Maksudnya: " Tiga doa yang tidak akan ditolak Allah (bermaksud sangat mustajab) iaitu doa seorang pemimpin yang adil, doa orang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi.."

Kesimpulannya, tidak perlulah kita bersusah payah untuk menyesuaikan atau convert waktu wukuf di padang Arafah dengan waktu di Malaysia kerana masing-masing ada keistimewaan masing-masing. Islam tidak akan sesekali menyempitkan ruang ibadah kepada umatNya. Berdoalah pada mana-mana waktu sepanjang kita berpuasa di hari Arafah kerana ianya mustajab dan mujarab insyaAllah.

~ Selamat menikmati ibadah di hari yang berkah.b

والله أعلم بالصواب وهو يهدي إلى سبيل الرشاد

Wan Mohd Hazim Bin Wan Mohd Hashim
Imam Masjid Abidin (Masjid Negeri) Kuala Terengganu

Klik di sini


0 comments:

Post a Comment

Komen anda